Sungai Semberong Kering! Bala Daripada Allah…
Saya telah mengadakan lawatan untuk meninjau keadaan Sungai Semberong yang menjadi sumber tunggal kepada Loji Penapisan Semberong Timur yang membekalkan air ke beberapa kawasan di Kluang dan kawasan Paloh.
Turut bersama saya dalam lawatan ini adalah sdr Faizul Salleh, sdr Khalim Sakib, sdr Salleh Tamjis, sdr Mahathir, sdr Azam Sakib, sdr Mohd Nor dan wartawan Harakah iaitu sdr Salman Hussien.
Memang mengejutkan!
Air Sungai hampir tiada di dalam sungai sehingga kami dapat menjumpai ikan-ikan yang mati kekeringan kerana tiada air.
Kluang telah mengalami catuan air bermula 12 Februari 2010 yang lalu berikutan paras air di Sungai Sembrong merosot kepada 0.3 meter iaitu lebih rendah daripada paras kritikal iaitu 0.5 meter.
Maklumat yang saya terima semasa lawatan ke loji penapisan air tadi bahawa paras air terkini adalah 0.1 meter sahaja!.
Hasil lawatan yang diadakan ini mendatangkan beberapa idea dan pandangan yang akan saya salurkan selepas ini.
Saya telah mencadangkan agar PAS Kawasan Kluang untuk mengadakan solat Istisqaa dalam masa terdekat dan mengajak masyarakat Kluang untuk terlibat sama.
Saya menyarankan agar solat hajat untuk memohon Allah menurunkan hujan dilaksanakan oleh semua pihak. Ia boleh dimulakan selepas solat Jumaat yang terdekat ini.
Saya akan mencadangkan agar sumber air daripada sungai lain iaitu Sungai Kahang disalurkan ke Loji Air Semberong Timur kerana sumber yang sedia ada masih tidak mencukupi.
Beberapa tindakan lain akan saya kemukakan kemudian.
Saya juga akan cuba untuk mengadakan lawatan ke kawasan tadahan hujan untuk memastikan apakah punca sebenar air sungai kering.
Apapun, kita mestilah mengambil iktibar daripada apa yang telah terjadi dan jangan hanya melihat ia sebagai fenomena alam semata-mata.
Bala bencana ataupun musibah yang menimpa manusia juga berpunca daripada kesilapan manusia atas apa yang telah kita lakukan. Maksiat semakin menjadi-jadi, hukum Allah dipermainkan dan kita semakin jauh daripada Islam dalam pelbagai perkara.
Firman Allah,
“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana) yang menimpa dirinya sendiri. Dan ingatlah, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” An-Nisa’ : 111
Begitu juga Allah telah nyatakan dalam FirmanNya dalam surah Thahaa ayat 124
“Dan sesiapa yang berpaling engkar daripada peringatan dan petunjukKu maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan pada hari Kiamat dalam keadaan buta”
Segeralah kita menginsafi diri kita…
Aliran ‘parit’ terpaksa dikorek dalam sungai Semberong untuk mengalirkan air sungai ke kawasan pam air ke loji.
Salah satu kawasan pam air yang tidak dapat berfungsi kerana tidak dapat bekalan air sungai.
percaya atau tidak, kesemua mereka ini sedang berdiri di atas dasar sungai yang kering!
Sdr Salleh menunjukkan ikan sungai yang masih ‘nyawa-nyawa ikan’ terdampar di atas dasar sungai yang telah kering.
Kawasan takungan air yang masih tinggal, itupun kawasan tersebut dikorek oleh pihak kilang berdekatan untuk mendapatkan air.











No comments yet.