Agenda semua cari punca cuaca panas

Agenda semua cari punca cuaca panas - BH Online

Oleh Mior Kamarul Shaid
mkamarul@bharian.com.my

Iktibar perlu diambil berikutan fenomena melanda negara

DI Malaysia, tidak ramai orang peduli soal cuaca, melainkan setelah berlaku sesuatu keadaan luar biasa. Cuaca panas yang melanda negara sejak Januari lalu dan dijangka berlarutan hingga Mac, tidak menggemparkan mereka apatah lagi ada jaminan daripada pihak Jabatan Meteorologi bahawa apa yang berlaku ini adalah fenomena biasa.

Kebanyakan mereka hanya mengadu panas dan tidur berpeluh, itu saja. Bagi yang ada pendingin hawa, mereka tidak terasa sebarang perubahan. Biasanya, kebanyakan mereka tidak tahu apa-apa mengenai perubahan iklim selain malam dan siang dan hujan dan panas.

Namun, bagi golongan pencinta alam dan mereka yang peduli soal alam sekitar, ramai yang bertanya mengenai punca sebarang perubahan terhadap iklim. Bagi mereka, setiap sesuatu yang berlaku, ada penyebab dan puncanya. Bagi mereka, apakah ini yang dikatakan pemanasan global yang sering mereka baca di akhbar atau dengar di media elektronik?

Mereka sering mendengar bahawa pembangunan yang berpunca daripada penebangan hutan, menarah bukit dan sebagainya memberi kesan kepada persekitaran. Mereka juga melihat keadaan ini terus berlaku dan sedar ia sukar dihentikan atas faktor pembangunan. Bagi golongan ini, mereka mudah mengaitkan isu pemanasan global dengan puncanya.

Jabatan Meteorologi mungkin cuba menyampaikan mesej supaya rakyat tidak perlu panik kerana segala-galanya terkawal. Selagi belum kemarau teruk atau bumi menjadi kering-kontang, segala-galanya adalah perkara biasa. Tanah sawah yang merekah di Perlis yang disiarkan oleh media, juga adalah perkara biasa terutama selepas musim menuai.

Bila paras laut dan sungai, kawasan takungan air dan sebagainya mula merosot, sudah ada tanda-tanda kebimbangan. Kekurangan air akan menyebabkan bekalan dicatu atau dihentikan. Ada kalanya bekalan air terpaksa dihantar ke rumah-rumah. Ini sangat tidak diingini. Ketiadaan air adalah satu penyeksaan.

Dibandingkan antara ketiadaan bekalan elektrik dan air, ramai yang akan mengatakan mereka lebih rela ketiadaan elektrik. Setakat ini belum ada satu kajian saintifik yang dapat meyakinkan bahawa apa yang berlaku hari ini ada kaitannya dengan isu alam sekitar. Jadi, suhu paling panas setakat ini iaitu 36.6 darjah Celsius di Chuping, Perlis atau di Petaling Jaya pada 34.7 darjah Celsius, adalah biasa.

Isunya, apakah perkara yang berlaku ini sebagai perubahan iklim biasa atau ada kaitannya dengan isu alam sekitar? Hari ini isu perubahan iklim adalah cabaran besar dalam bidang sains. Ia adalah isu dan agenda seluruh dunia. Ia adalah antara perkara yang dibincangkan dalam rangka kerja konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan iklim di Copenhagen, Denmark dihadiri lebih 200 negara termasuk Malaysia hujung tahun lalu.

Kandungan perjanjian dan protokol yang dipersetujui, menyediakan rangka kerja mengenai komitmen negara-negara dunia dalam menangani perubahan iklim. Meskipun sudah dipersetujui, masih banyak negara tertanya-tanya mengenai mekanisme penguatkuasaan dan cara mana menangani masalah perubahan iklim.

Masing-masing menunggu garis panduan mengenai apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan. Setakat ini, segala-galanya berjalan seperti biasa. Apatah lagi, perjanjian itu dibuat tanpa kepastian sama ada ia secara teknikalnya boleh dianggap sebagai satu perjanjian global yang wajib untuk semua negara atau setiap negara boleh membuat pilihan menerima atau sebaliknya.

Bagi mereka yang mengikuti konvensyen di Copenhagen itu dengan rapat, ia penuh kontroversi dan ketegangan, berpunca daripada perbezaan kepentingan. Ini kerana konvensyen itu tidak dapat mengelak daripada menggabungkan suara dari negara kaya dan miskin atau negara utara dan selatan. Inilah juga yang menyebabkan perjanjian Copenhagen itu tidak diterima sebagai keputusan rasmi.

Melihat kepada kedudukan geografi, demografi, topografi, kepentingan ekonomi, struktur pembangunan di negara-negara dunia yang berbeza-beza, soal menangani perubahan iklim ini memerlukan pendekatan yang berbeza-beza juga mengikut keadaan dan tempat. Pemaju pembangunan atau pelabur, khasnya golongan kapitalis, mereka mem-punyai pandangan yang berbeza mengenai pembangunan.

Bagi mereka, pembangunan memerlukan pengorbanan. Tanpa pembangunan, tidak ada peluang pekerjaan. Negara yang tidak dibangunkan akan terus ketinggalan. Hutan perlu ditebang untuk mendapatkan hasil balak, gunung terpaksa dirobohkan untuk mendapatkan batu dan bahan binaan bagi membina bangunan, bukit-bakau terpaksa ditarah untuk membina jalan raya dan sebagainya.

Meskipun boleh dikatakan setiap negara menetapkan dasar pembangunan lestari masing-masing, biasanya ia hanyalah sebagai garis panduan sebelum dapat projek. Setelah projek diperoleh, syarat yang menyusahkan dan merugikan, tidak dilaksanakan. Di segi penguatkuasaan, ia terus menjadi persoalan pihak penguat kuasa.

Dalam isu pemanasan global, umum mengetahui, antara puncanya ialah pelepasan asap yang berlebihan sama ada daripada kenderaan atau perindustrian. Melihat kepada jutaan kenderaan yang bersimpang-siur di jalan raya dan pengeluaran produk dan barang-barang keperluan daripada perindustrian, ia seolah-olah sesuatu yang mustahil dilakukan.

Apakah kaedah berkesan untuk menggalakkan semua orang secara sukarela mengurangkan pelepasan asap. Ia sukar dilakukan. Di sinilah terletaknya cabaran sains untuk mencipta teknologi yang boleh mengurangkan pelepasan asap sama ada daripada kenderaan atau sektor pekilangan.

Sekarang negara membangun menagih janji bantuan berikutan persetujuan di Copenhagen dengan peruntukan RM102 bilion (AS$30 bilion) dalam tempoh tiga tahun dan RM340 bilion (AS$100 bilion) setiap tahun menjelang 2020 untuk mengatasi masalah kepanasan global.

Ini termasuk soal penjagaan hutan dan membantu mengurangkan pengeluaran karbon hasil penebangan hutan. Wang itu juga perlu membantu negara di dunia berhubung masalah perubahan iklim, pembangunan lestari atau mencipta teknologi tenaga penggunaan karbon yang rendah. Timbul persoalan, apakah wang ini bermaksud pemindahan kekayaan dari negara kaya ke negara miskin? Ada juga yang mengatakan wang itu tidak memadai dan perlu digandakan.

Ahli-ahli politik di negara kaya menyatakan wang itu bukan derma, tetapi ia adalah sebagai pelaburan. Setiap rakyat di negara miskin akan membayar dengan harga yang lebih tinggi jika mereka mematuhi cara intensif penggunaan karbon secara konvensional untuk tujuan pembangunan.

RSS feed | Trackback URI

Comments »

No comments yet.

Name (required)
E-mail (required - never shown publicly)
URI
Your Comment (smaller size | larger size)
You may use <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong> in your comment.