Himpunan Pertahan Kalimah Allah : Kenyataan Berbeza PM dan Ketua Polis Negara
Apabila membaca kenyataan Ketua Polis Negara yang memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil oleh pihak polis sebenarnya agak mengejutkan kerana ia bertentangan dengan kenyataan daripada Perdana Menteri.
Datuk Seri Mohd Najib Razak menyebut bahawa kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama ‘Allah’ walaupun Najib sendiri tahu bahawa negara ini mempunyai undang-undang. Ia sangat berbeza dengan kenyataan awal Najib terhadap bantahan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Herald The Catholic Weekly yang mahukan semua pihak bertenang.
Pada peringkat awalnya, saya ingin menulis untuk mengucapkan tahniah kepada PM kerana telah membuka satu era baru dalam pemerintahannya yang tidak menghalang perhimpunan aman dan saya pasti ia akan dijadikan hujah yang cukup kuat untuk mana-mana pihak mengadakan himpunan ama pada masa hadapan. Tidak kiralah sama ada ia adalah berdasarkan kepada isu kalimah Allah atau pun apa-apa isu tetapi ia tetap berdasarkan kepada ruang lingkup yang diberikan kepada rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan hasrat dan pendirian mereka.
Tiba-tiba, Ketua Polis Negara memberikan amaran kepada kumpulan yang ingin mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat pada hari esok. Adakah amaran ini bermakna Musa Hasan juga memberikan amaran secara tidak langsung kepada PM agar menarik semula kebenaran untuk himpunan aman diadakan oleh kumpulan-kumpulan ini?
Sememangnya, sebelum daripada ini pihak polis kebiasaannya akan mengeluarkan amaran beberapa hari sebelum sesuatu himpunan aman diadakan seperti mana himpunan membantah perlaksanaan PPSMI, himpunan membantah ISA dan sebagainya. Secara tidak langsung sebenarnya Najib Razak sedang mengambil sikap berlawanan dengan polis.
Walaupun PAS tidak akan terlibat dalam himpunan ini kerana akan menumpukan sepenuhnya kepada himpunan aman di Kedutaan Mesir namun saya mengalu-alukan agar himpunan-himpunan aman yang diadakan ini akan dapat menyuburkan demokrasi di bumi Malaysia ini.
Apa yang pasti kenyataan Najib ini sudah tentu tidak disenangi oleh Musa Hasan kerana ia bertentangan dengan ketegasan kerajaan yang mahu tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana himpunan aman ataupun demonstrasi.
Saya tertunggu-tunggu satu kenyataan rasmi daripada Polis Di Raja Malaysia terhadap kenyataan Perdana Menteri ini dan apakah tindakan seterusnya yang akan dibuat terhadap PM.
Khairul Faizi Bin Ahmad kamil,
7 Januari 2010,
8.19 malam
———————————
Tidak boleh halang demo isu ‘Allah’: Najib - Malaysiakini
Kerajaan tidak akan menghalang orang ramai yang ingin mengadakan perhimpunan di masjid-masjid selepas solat Jumaat esok bagi membantah mingguan Katholik menggunakan nama ‘Allah’, kata perdana menteri.
Datuk Seri Mohd Najib Razak diminta mengulas sama ada kerajaan mengamalkan sikap berbeza terhadap kumpulan tertentu yang menganjurkan demonstrasi.
Bantahan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Herald The Catholic Weekly terus marak walaupun Najib sebelumnya menyeru semua pihak bertenang.
Kes tersebut kini di peringkat rayuan. Semalam, mahkamah menangguhkan perintah membenarkan mingguan itu berbuat demikian setelah dimohon oleh Kementerian Dalam Negeri.
Selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) merancang mengadakan bantahan di seluruh negara, sebuah lagi persatuan berpengaruh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) juga akan menganjurkan bantahan yang sama.
Bantahan dua NGO Melayu dijadual diadakan di Masjid Negara.
Dua badan Islam berpengaruh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan berhimpun di masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada waktu yang sama.
Pada 31 Disember lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald berbuat demikian dalam penerbitannya, mengundang reaksi negatif masyarakat Islam.
Isu tersebut pada mulanya dijangkakan akan reda apabila perdana menteri meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu “memanaskan” isu sensitif tersebut kerana kerajaan akan menanganinya sebaik mungkin.
Sehari selepas arahan Najib dibuat, Pemuda Umno Selangor yang turut bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran esok menangguhkan hasrat tersebut.
——————————————————–
KPN: Jangan adakan perhimpunan - Malaysiakini
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk berhimpun bagi membantah isu penggunaan kalimah Allah esok agar membatalkannya sebelum tindakan tegas diambil.
Beliau yang memantau secara serius perkara itu, berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeruh dan menjejaskan keselamatan negara.
“Jangan buat sesuatu tindakan yang boleh mengusutkan keadaan, kita perlu bertenang kerana ia melibatkan isu agama yang menjadi isu sensitif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Inovasi dan Kualiti PDRM di ibunegara hari ini.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa NGO yang dijangka berhimpun secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic di beberapa masjid di ibu negara selepas solat Jumaat, esok.
Beliau berkata polis tidak mengeluarkan permit kepada mana-mana permohonan untuk berhimpun meskipun ia adalah perhimpunan secara aman.
Beliau berkata semua pihak perlu bertenang dan memberi ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu itu dan jangan membuat kenyataan yang boleh menaikkan semangat serta kemarahan orang ramai.
Semalam Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan itu setelah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan peguam mewakili Gereja Katholik, Derek Fernandes mencapai kata sepakat supaya perintah itu ditangguh sementara menunggu rayuan.
Pada 31 Disember, Hakim Lau Bee Lan membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya setelah beliau berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah itu dan ia bukan eksklusif kepada umat Islam.
Ditanya mengenai pengendali laman web Malaysia Today Raja Petra Raja Kamarudin, Musa berkata polis sedang menguruskan permohonan untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawanya pulang ke Malaysia.
“Kami sedang menguruskan permohonan itu tetapi tidak tahu berapa lama kerana kami perlu ikut proses perundangan,” katanya.
Mengenai penemuan makmal membuat bahan letupan di Kelantan, Musa berkata ketiga-tiga suspek rakyat Thailand telah dituduh di mahkamah mengikut Akta Imigresen dan mereka dijangka dikenakan tuduhan yang lain.
Musa berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mereka bekerja untuk siapa serta kemungkinan-kemungkinan kaitan dengan kumpulan pemisah di selatan negara jiran itu.
“Kami masih menyiasat dan bekerjasama dengan polis Thailand,” katanya.
- Bernama








This is just a coward’s tactic. Najib gave green light for demo BUT just in case the demo is not supported by the rakyat (in other word only a few people attend) then the Police will say that the demo was illegal and they have prevented people from attending the demo. Thus saving Najib and UMNO from embarrassment (malays not supporting his and UMNo’s call for demo).
Therefore there’s no such thing as najib contradicting the GIP’s stance on no demo. They are just covering the bases, that’s all! They are not fooling anyone with this kind of imbecilic action but then again these people are not known to be geniuses, in fact they are asinine to be exact (I wonder if they get what I mean).