Ahli Parlimen BN dituntut kerja lebih agresif
Ahli Parlimen BN dituntut kerja lebih agresif
Oleh Rohaniza Idris
Berita Harian Online - 20 Disember 2009
Kemenangan majoriti tipis lulus Bajet 2010 boleh timbulkan salah tafsir di kalangan rakyat
KEKECEWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan ketidakhadiran 74 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010, perlu diberikan perhatian semua ahli Parlimen BN kerana ia adalah ‘loceng amaran’ untuk mereka.
Tiada seorang pun terkecuali walau apa pun alasannya dan apa yang sudah berlaku itu perlu dijadikan iktibar oleh semua, bukan hanya mereka yang tidak menghadirkan diri bagi mengundi dalam pembentangan dan kelulusan apa saja rang undang-undang di Dewan Rakyat.
“Kejadian ini adalah ‘loceng amaran’ untuk BN dan tidak timbul isu taktik kotor Pakatan Rakyat untuk ‘merampas kuasa’ dan menumbangkan kerajaan sedia ada,” kata Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Katanya, jika Pakatan Rakyat ada niat berbuat demikian, yang menjadi persoalan sekarang ialah Ahli Parlimen BN perlu sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.
“Dalam kes terbaru ini, sudah tentu ia perlu diberikan perhatian kerana ini soal kelulusan Bajet 2010. Kesan Bajet 2010 ini sangat besar kepada rakyat dan negara. Jika tidak diluluskan ia bukan saja beri kesan kepada rakyat tetapi negara.
“Ahli Parlimen sudah tentu faham bahawa kegagalan meluluskan Bajet 2010 boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan dan BN terpaksa menghadapi pilihan raya untuk membentuk semula kerajaan,” katanya.
Mengikut konvensyen yang diamalkan di negara lain, termasuk Komanwel, Parlimen akan dibubarkan dan Perdana Menteri digantikan jika bajet nasional tidak diluluskan.
“Keadaan sekarang sangat berbeza dengan zaman BN menguasai majoriti kerusi di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen kena sentiasa tanamkan dalam jiwa mereka bahawa BN menang dengan majoriti dua pertiga. Sikap berhati-hati perlu ada bukan lagi masa bersenang-lenang seperti ketika BN menguasai kerusi di Parlimen.
“Sedikit saja ruang akan dijadikan peluang untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan,” kata Prof Mohamed Mustafa yang menganggap kealpaan dengan kejayaan lalu oleh BN perlu dilenyapkan ahli Parlimen parti berkenaan.
Beliau berpendapat parti pembangkang semakin bijak mengatur strategi dan mengesan sebarang ‘peluang’ untuk terus mengambil alih kepemimpinan kerajaan dan BN seharusnya bijak menguruskan ahlinya dan terus berkuasa mentadbir negara.
Penggunaan undi belah bahagian iaitu setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak, membuktikan ahli Parlimen pembangkang faham dengan peraturan dan perjalanan di Dewan Rakyat.
Justeru, BN perlu mengukuhkan lagi pengurusan sistem penyampai-an maklumat dan komunikasi kepada ahli Parlimennya dan dalam isu terbaru kemungkinan wujud kelemahan berhubung perkara itu.
Prof Mohammad Mustafa berkata, selain sikap berhati-hati, mengubah cara bekerja dan pengurusan dengan yang lebih cekap, sekarang adalah masa yang sesuai untuk ahli Parlimen BN bekerja lebih agresif dan selangkah ke hadapan berbanding rakan ‘lawan’ di dalam Dewan Rakyat.
Katanya, pengalaman yang ada perlu digabungkan dengan suntikan baru yang jelas nampaknya lebih memihak kepada ahli Parlimen pembangkang yang jauh lebih muda walaupun baru setahun jagung di dalam arena politik negara.
Faktor hujung tahun dengan ramai yang mengambil cuti mungkin adalah alasan sesetengah daripada 74 ahli Parlimen itu untuk tidak hadir, begitu juga yang terpaksa pulang ke kawasan kerana ada majlis yang perlu dihadiri, tidak termasuk yang bertugas atau ada urusan rasmi di luar negara.
Semua orang akan memberikan alasan dan sepatutnya ia dapat dielakkan jika pihak pengurusan dan penyelarasan bijak mengatur jadual Ahli Parlimen BN. Namun, apa pun Ahli Parlimen sendiri perlu ada kesedaran dan mengetahui tanggungjawab, tugas dan bijak mengatur perjalanan kerjaya masing-masing supaya masa depan rakyat dan negara tidak tergadai oleh kealpaan diri sendiri dan ‘lepas pandang’ pegawai yang diamanahkan mengaturkan jadual mereka.
Bagi penganalisis politik yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, ahli Parlimen BN kini berhadapan dengan cabaran yang berbeza dengan situasi politik sebelum pilihan raya umum yang lalu.
Katanya, kedudukan BN di Dewan Rakyat juga tidak sama dengan keadaan sebelum ini dan senario politik semasa juga sudah berubah dan rakyat juga menuntut yang lebih daripada wakil yang dipilih.
“Dalam kes Selasa lalu, seramai 66 Ahli Parlimen menyokong bajet itu, manakala 63 wakil rakyat parti pembangkang menentang. Jika dilihat daripada peratusan kehadiran jelas bahawa 66 daripada 137 kerusi Parlimen BN hanya 46 peratus sokongan, manakala pembangkang 63 daripada 82 kerusi atau 77 peratus, bermakna kelebihan kepada pembangkang.
“Jelas di sini, memang wujud pendekatan terancang pihak pembangkang untuk memastikan Bajet 2010 tidak diluluskan pada malam berkenaan. Ia juga jelas bahawa sudah menjadi agenda mereka untuk menumbangkan kerajaan tidak kira apa cara sekali pun. Justeru, BN perlu bijak mengatur strategi mengesan apa saja langkah pihak lawan.
“Ahli Parlimen juga perlu bertanggungjawab untuk hadir di persidangan Dewan Rakyat walaupun mempunyai tugas lain tanpa mengira waktu dan sepatutnya tiada alasan diberikan untuk menidakkan kehadiran di Parlimen. Lagipun, jadual persidangan Dewan Rakyat sudah diberikan lebih awal, jadi ahli Parlimen perlu bijak merencanakan jadual masing-masing,” katanya.
Beliau berpendapat kejadian itu mencerminkan bahawa sikap ahli Dewan Rakyat BN yang ditafsirkan rakyat tidak meyakinkan dan ia akan memberi kesan kepada kerajaan.
Dalam keadaan sekarang, beliau berpendapat keadaan akan bertambah parah apabila persepsi rakyat akan menjadi benar yang pastinya akan terus menggugat kedudukan BN .
Justeru, kata Dr Sivamurugan, BN perlu segera memperbaiki keadaan berkenaan kerana persekitaran dan situasi politik semasa sangat berlainan dengan masa lalu.
Katanya, ini bukannya yang pertama kerana sebelum ini rang undang-undang berkaitan DNA diluluskan dalam persidangan sebelum ini dengan undi 43 di pihak kerajaan dan 42 wakil rakyat parti pembangkang menentang.
“Sepatutnya, apabila kes pertama ini berlaku, ahli Parlimen BN sudah belajar dan lebih bersedia dan berhati-hati. Dalam kes terbaru ini, situasi berbeza kerana implikasinya tidak sama dengan kes yang pertama.
“Dalam kes ini, masa depan negara terletak di tangan ahli Parlimen, jadi BN perlu tegas dan lebih berhati-hati melihat gerak geri dan strategi politik di mainkan parti pembangkang. BN perlu bijak mentafsir, menganalisis cara parti pembangkang seperti dilakukan lawannya.
“BN kena ingat salah langkah akan memberi kesan yang besar kepada parti dan kerajaan. Dalam kesibukan mengembalikan keyakinan rakyat dan memulihkan parti, BN kena ambil iktibar dan menjadikan kes terbaru ini untuk mengatur strategi supaya terus diterima rakyat,” katanya.
Mungkin berlaku salah percaturan atau pengurusan yang lemah dan semestinya kejadian kali ini diambil iktibar semua 137 Ahli Dewan Rakyat BN termasuk 25 Menteri (jumlah Menteri 30 orang semuanya termasuk lima Senator yang menjadi Ahli Dewan Negara dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pengundian di Dewan Rakyat), 33 Timbalan Menteri daripada 40 semuanya (tujuh timbalan Menteri adalah Senator ) dan Ahli Dewan Rakyat BN yang menjadi penyokong seramai 79 orang.
Daripada jumlah itu, tidak semua menteri dan timbalan menteri hadir kerana mempunyai urusan rasmi kerajaan dan tidak boleh hadir ke Dewan Rakyat, manakala kehadiran penyokong kerajaan dilaporkan memuaskan walaupun ada yang memberi alasan perlu berada di kawasan masing-masing kerana ada majlis perlu diselesaikan.
Setiausaha Ahli Parlimen perlu bijak mengatur majlis di luar waktu Persidangan Dewan Rakyat kerana kehadiran setiap Ahli Parlimen sangat penting akibat perubahan politik tanah air selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
Perlu diingat juga ada beberapa ahli Dewan Rakyat BN tidak dapat hadir untuk persidangan kerana urusan rasmi seperti Ahli Parlimen Rompin yang kini bertugas sebagai Duta di Amerika Syarikat, tidak termasuk Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang dilaporkan bercuti kerana berkahwin dengan pelakon terkenal, Zizie Izette dan beberapa Ahli Parlimen yang mempunyai komitmen sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri masing-masing.
Selebihnya, mungkin ada alasan tersendiri yang sebenarnya boleh dielakkan, selain mereka yang uzur dan sakit atau ada kecemasan seperti kematian dan sebagainya. Namun, persoalannya bukan alasan yang bakal diberikan mereka yang tidak hadir tetapi bagaimana mereka memenuhi komitmen sebagai ahli Parlimen yang menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat. Jelas sekali, kini sudah ada persepsi tidak baik kepada kerajaan BN mempunyai 137 wakil di Parlimen berbanding 82 wakil pembangkang.






No comments yet.