Khalid, Zulkifli ‘berperang’ - Utusan Malaysia Online
Khalid, Zulkifli ‘berperang’ - Utusan Malaysia Online
KUALA LUMPUR 10 Nov. - Isu bai’ah cerai talak tiga yang disifatkan oleh Pas sebagai telah selesai dan tidak berbangkit lagi hari ini memasuki fasa baru.
Hal ini berlaku apabila Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berang dengan kenyataan dan ulasan Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berhubung isu itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Zulkifli menarik balik kenyataan.
Khalid berkata, Zulkifli sebagai orang luar tidak berhak dan mempunyai kelayakan untuk memberi komen mengenai amalan ahli Pas.
“Dia bukan ahli Pas, jadi ia satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab untuk membuat ulasan berhubung amalan ahli Pas. Dia kena hormatlah.
“Mungkin sebab itu kenapa dia tidak diterima dalam Pas dan kenapa dia tidak layak untuk menjadi Ahli Parlimen Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Zulkifli dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com/ yang kemudiannya disiarkan oleh beberapa buah akhbar berhubung isu bai’ah.
Zulkifli dalam blognya mendedahkan terdapat isteri calon wakil rakyat Pas yang menangis dan menggeletar pada majlis bai’ah apabila mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi kepentingan politik kepartian yang sempit dan jumud.
Katanya, gejolak rasa itu turut dikongsi si suami yang menggigil sewaktu mengangkat bai’ah yang memberi kata dua sama ada terus setia kepada parti atau bercerai talak tiga dengan isteri.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, pendedahan Zulkifli itu tidak berasas kerana tidak diketahui sumber mana yang dipetik.
Sementara itu, Zulkifli yang ditemui di lobi Parlimen pula bertegas bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataan itu.
Katanya, beliau bukan tidak setuju dengan bai’ah tetapi bai’ah yang menuntut cerai taklik tidak dibenarkan.
Malah katanya, dalam undang-undang Inggeris menyebut mana-mana orang yang berkontrak tidak boleh melibatkan orang lain dalam perjanjian itu.
“Pas patut besar diri dengan mengakui kesilapan secara terbuka. Saya percaya pegangan Islam masih ada dalam Pas. Saya tak perlu buat apa-apa (menarik kenyataan).
“Dia (Khalid) yang buat kenyataan tanpa ada orang yang suruh kemudian tuding jari kepada orang lain. Ini tidak menunjukkan sikap yang Islamik,” katanya.
Menurut Zulkifli, amalan bai’ah memang dilakukan pada zaman Nabi tetapi yang tidak melibatkan orang lain seperti menjadikan isteri dan anak-anak sebagai mangsa.






No comments yet.